Friday, June 17, 2011

Petua, Penawar dan Pantang Larang Berkaitan Madu

Alhamdulillah, setelah sekian lama diberi juga kesempatan oleh Allah taala untuk mengemaskini blog ini, kali ini saya ingin berkongsi sedikit petua, penawar dan pantang larang yang berkaitan madu hasil daripada catatan seorang pelajar dari Pondok Pasir Tumboh, Kelantan iaitu Nik Shahir Bin Nik Ibrahim. Petua, penawar dan pantang larang ini dicatat melalui Mudir pondok itu sendiri, para ustaz dan masyarakat setempat. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik beliau kerana membenarkan saya memaparkanya disini, InsyaAllah buku berkaitan Petua, Penawar dan Pantang Larang tersebut akan dikeluarkan dan akan dijual bagi mengumpul dana untuk pembinaan madrasah yang diusahakan.


PETUA
1.      
1.   Menguatkan syahwat jimak
Telur ayam kampung di masak separuh ditaruh jintan putih, madu lebah, halia ditumbuk lumat, dipuri (dikacau-kacau) dimakan dijadi menguatkan syahwat jimak. (Ustaz Alias Melaka)

Menyembuh Orang Sakit
Bagi menyegarkan orang sakit, diberi minum air yang dicampur madu lebah dan minyak zaitun.
(Majmu’ at’Thalasa Risalah pada risalah kedua).

1.     Mengubat rasa keletihan tubuh dan lemah badan.
Sekiranya tubuh badan rasa tidak sihat dan tidak bertenaga terasa lemah-lemah maka hendaklah diminum air didih iaitu air rebusan nasi, seeloknya dicampur dengan madu lebah, atau diminum satu sudu teh minyak zaitun dicampur sedikit air suam pada pagi-pagi hari sebelum pada pukul lapan setengah atau Sembilan atau mandi wap (stim), yang seeloknya dengan air rebusan pokok-pokok dan daun-daun kayu yang dibuat mandi Tangas seperti yang maklum di sini orang-orang tua.


1.  Petua bagi menguat tenaga batin bagi yang ada dua orang isteri.
Untuk tubuh sentiasa sihat dan bertenaga hendaklah diamalkan setiap pagi sebelum makan apa-apa dimakan dahulu jintan hitam (al-habbah as-sauda) dicampur madu lebah begitu juga sebelum tidur. Ditanya seorang yang bernikah dua orang isteri adakah mampu ia jimak isterinya bagi sempurna hajat kedua-dua isterinya itu lalu ia berkata baginya tiada apa-apa masalah baginya yakni bukanlah ia rasa penat dan terpaksa kerana ia sentiasa beramal jintan hitam dan madu lebah selalu.

1.     Ubat Menerang Mata Menyihatkan Tubuh Badan
-         Dimakan ikan bersama-sama madu lebah jadi terang mata.

1.     Ubat Mencegah Sakit Mata
Apabila tiba musim orang-orang sakit mata maka hendaklah dititik ke dalam mata madu lebah, nescaya tiada jangkitan

1.  Ubat Batu Karang
Minyak Habbatus Sauda (biji jintan hitam) diminum bersama-sama madu lebah selalu boleh menghilangkan batu karang dalam badan. (Setengah Orang)

1.  Ubat medu (angin di dalam perut)
Madu lebah satu sudu besar dipuri (dicampur) dengan asam limau nipis satu biji diperah airnya, diminum selalu, jadi ubat bagi penyakit medu iaitu angin di dalam perut seseorang hingga jadi keras di dulang hati dan rasa tidak puas bernafas (setengah bomoh)

1.   Ubat menghilang cerah perut atau cirit birit iaitu sentiasa berak.
Apabila cirit birit (cerah perut dan sentiasa berak) tidak berhenti-henti dan putus asa daripada ubat hendaklah dimakan madu dengan banyak tanpa minum air kemudian berkata kepada perut “wahai perut, dusta engkau dan benarlah Allah taala yang mangatakan bahawa madu itu ubat segala penyakit”, tetapi yang paling sesuai itu dikatakan sebelum daripada minum madu kerana mengikut Rasulullah SAW yang berkata kepada lelaki yang adalah sahabatnya itu tidak sembuh-sembuh cerah perutnya walaupun sudah beberapa kali minum madu, katanya “benarlah Allah taala dan telah berdusta perut saudaramu itu”


*Kesemua persediaan di atas adalah persediaan tradisional dan seperti yang kita lihat bahan-bahan yang digunakan adalah daripada sumber semulajadi yang mana selamat untuk digunakan kerana tidak mempunyai kesan sampingan seperti ubat-ubat moden yang lain.